jump to navigation

Weekend reading September 3, 2006

Posted by elizabethwong in Current Affairs, Malaysia, Politics, Readings.
trackback

Arus dan garis Anwar Ibrahim
Hishamuddin Rais

Ketika saya menulis ini keadaan politik tanah air sedang berkecamuk. Parti komponen utama dalam Barisan Nasional – United Malay National Organisations – sedang dilanda krisis dalaman yang paling hebat. Perdana Menteri dan ahli-ahli kabinet kerajaan parti itu sedang diperlekehkan oleh Mahathir Mohamad, bekas Perdana Menteri dan juga bekas presiden parti ini. Mahathir Mohamad secara terbuka sedang menggalang barisan untuk memastikan Abdullah Badwi dilucutkan dari jawatan Perdana Menteri.

Dalam kesakitan barah pergolakan dalaman yang sedang meretakkan United Malay National Organisations, tetiba, Hishammuddin Hussein ketua pemuda dari parti ini bersuara. Suara ini bunyinya agak sumbang dan ‘out of sync’, temponya agak lari dari drama yang sedang berjalan. Jika berlaku suara sumbang dari penyanyi, biasanya ini terjadi kerana lidah penyanyi itu belum terlatih atau pemiliknya berlidah kontot. Dalam kes Hishammuddin yang namanya dieja dengan dua ’m’ dan dua ’d’ ini saya tidak pasti yang mana satu atau mungkin kedua-duanya sekali.

Mengikut tuan empunya suara kontot ini ‘Anwar Ibrahim tidak akan dibenarkan kembali ke dalam United Malay National Organisations’. Mamat bersuara kontot ini cukup menakjubkan lagi menghairankan. Parti yang dikepalainya sedang tenggelam timbul tetapi dia tidak ambil peduli. Apa yang dia ambil ‘pot’ ialah hal masa depan politik Anwar Ibrahim. Hairan.

Sebenarnya surah-surah tentang Anwar Ibrahim untuk masuk kembali ke dalam tong United Malay National Organisations ini bukan satu perkara baru. Pada minggu pertama apabila Anwar Ibrahim dibuang oleh Mahathir Mohamad, saya telah mendengar surah ini. Malah, ketika Anwar di dalam penjara Sungai Buloh, saya pernah terdengar perkara yang sama. Bayangkan ketika Anwar dalam perjalanan berubat ke Jerman, saya telah dipelawa untuk bertaruh tentang bila agaknya Anwar akan masuk ke dalam tong lamanya. Jadi suara sumbang dari lidah-lidah yang kontot ini tidak pernah memeranjatkan saya.

Surah-surah dongeng ini muncul dari ramai Tok-tok Perawi yang memiliki pelbagai latar belakang. Tok-tok Perawi ini ada memiliki cita-cita mereka sendiri. Bukan semua Tok Perawi ini berlidah kontot. Ada yang berlidah panjang berjela-jela sehingga susah hendak difahami buah butir yang dituturkan. Untuk ini mari kita lihat genre-genre Tok Perawi yang mengeluarkan surah tentang Anwar Ibrahim masuk bertandak kembali ke dalam tong United Malay National Organisations:

PERAWI PERTAMA – mereka ini terdiri dari bekas-bekas ahli United Malay National Organisations yang ikut serta dalam Parti Keadilan Rakyat. Mereka ini pada awalnya menjangkakan bahawa selepas beberapa minggu gerakan rakyat menentang Mahathir Mohamad, Anwar Ibrahim akan menjadi Perdana Menteri atau sekurang-kurangnya menjawat kembali jawatan lamanya. Kumpulan ini berharap sangat Anwar Masuk kembali ke dalam tong lamanya. Mereka memasuki PKR bukan kerana niat perjuangan berjangka lama tetapi
mengharapkan tempat apabila Anwar rujuk dalam tong lamanya. Mereka inilah yang menyimpan harapan dalam diam-diam agar Anwar masuk kembali ke dalam tong lamanya. Ramai dari kumpulan ini telah melarikan diri dari PKR dan sudah masuk ke tong asal mereka.

PERAWI KEDUA – mereka ini pada awalnya cukup gah bersuara. Terutama apabila Anwar Ibrahim dibuang dari kerajaan. Mereka ini menimbulkan isu hak asasi dan pelbagai konsep keadilan. Kumpulan ini datangnya dari NGO. Ketika Anwar dalam kerajaan dahulu, mereka ini dapat membelit beberapa projek seminar antarabangsa. Dalam seminar yang didatangi oleh para pemikir antarabangsa ini mereka dapat tumpang bergambar semangkuk. Seminar ini dijadikan CV agar mereka dapat dilaporkan di akhbar Utusan Malaysia dan kalau nasib baik akan ditemui bual oleh Juwie pada hari Ahad.

Kebanyakan dari kumpulan ini ‘dah cabut’. Mereka tidak tahan kerana ‘fulus’ tak masuk lagi. Dulu ada juga kerajaan ‘ulur-ulur’ kan. NGO pimpinan mereka sebenarnya hanya ada tiga orang ahli, kini menjadi muflis. Ini kerana apabila mereka dilihat bersama arus Reformasi dan Keadilan pandangan mereka yang sangap lagi songel itu pun tidak lagi dilaporkan oleh akhbar Mama Juwie. Ini menakutkan mereka. Hendak menulis ke Salon atau ke New Left Review tak tahu mengeja ‘the’. Akhirnya kumpulan ini agak berdendam dengan Anwar Ibrahim kerana mimpi mereka hendak menjadi YB terbarai. Ditambah pula sikap Anwar yang merestui penggabungan Keadilan dengan Parti Rakyat. Apabila mendengar nama Parti Rakyat, kumpulan ini menjadi takut kerana mereka akan berhadapan dengan Parti Rakyat. Akan terburai keintelektualan dan PhD mereka yang hanya beli dari pasar tempatan bila berhadapan dengan Parti Rakyat.

PERAWI KETIGA – Mereka ini berharap sangat agar Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri Malaysia. Harapan ini tidak bersangkut-paut dengan agenda rakyat atau agenda perubahan. Kumpulan ini mahu Anwar menjadi PM kerana pada ketika ini mereka berada dalam lingkaran rapat atau lingkaran pinggir Anwar Ibrahim. Ramai yang berada dalam PKR dan ramai juga yang berada di luar PKR. Harapan mereka jika Anwar Ibrahim masuk ke tong lamanya mereka akan terjerut sama.

PERAWI KEEMPAT – mereka ini tidak jauh berbeza dari kumpulan perawi kedua. Apa yang berbeza hanya kumpulan ini memiliki hujah yang agak politik. Ini kerana mereka telah merasa nikmat bermarhaban ketika Anwar menjadi menteri dahulu. Ketika Anwar dalam Barisan Nasional mereka telah menikmati ‘pink form’ dan pelbagai jenis kontrak. Hujah politik mereka ialah tidak ada jalan lain buat Anwar untuk menjadi PM melainkan masuk tong lamanya. Mereka mencalitkan nama dalam PKR kerana jika apa-apa berlaku mereka telah memiliki tiket kaya untuk membeli helikopter sekali lagi.

PERAWI KELIMA – ini jenis Tok Perawi bankrap yang tidak sudah-sudah dengan dongeng perpaduan Melayu. Perpaduan Melayu ngok lagi bebal ini hanyalah satu-satunya agenda mereka. Apa tujuan perpaduan itu tidak pula jelas. Berpadu untuk apa tidak pula diterangkan. Mereka tidak pernah membaca sejarah kerana tidak ada sekali pun dalam sejarah orang Melayu telah bersatu padu. Malah, tidak ada satu pun bangsa dalam dunia ini yang pernah bersatu padu sama sendiri. Ketika Anwar dalam kerajaan dahulu mereka ini telah dapat juga bermarhaban dengan ’pink form’ kini mereka berharap jika Anwar masuk ke dalam tong lamannya, pesta marhaban mereka dapat diteruskan.

PERAWI KEENAM – mereka ini sedang menjalan dayah yang tersusun untuk menyebarkan surah bahawa Anwar Ibrahim akan masuk kembali ke dalam tong lamanya. Ada di antara mereka ini yang bekerja sepenuh masa untuk menaburkan pelbagai macam surah. Dalam hal Anwar Ibrahim, surah yang ditaburkan ini bertujuan untuk melemahkan Parti Keadilan Rakyat. Melalui surah – Anwar akan masuk tong lamanya – pasti ada elemen lemah di dalam PKR yang akan termakan cerita ini. Tujuan asas kumpulan ini ialah untuk memastikan PKR tidak dapat mantap sebagai Garis Ketiga yang akan membawa perubahan struktural ke atas Malaysia. Ucapan Hishammuddin Hussein, Najib Razak dan Jamaluddin Jarjis wajib dibaca sebagai unsur perang saraf untuk melemahkan PKR.

HAKIKAT – Kesemua Tok Perawi ini tidak memiliki asas analisa sosial politik dan ekonomi. Mereka menganggap bahawa krisis politik dan ekonomi pada tahun 1998 itu hanyalah perbalahan peribadi di antara Anwar Ibrahim dengan Mahathir Muhamad. Mereka gagal untuk melihat siapa di belakang Anwar dan siapa di belakang Mahathir. Kumpulan kelas ekonomi jenis apa yang menyokong mereka berdua.

Untuk saya, apa yang terjadi pada tahun 1998 dahulu ialah pertembungan dua kelas. Mahathir mewakili borjuis nasional dan kamprador atau cukung besar yang berniaga dan memiliki kepentingan ekonomi dengan syarikat multinasional. Manakala Anwar Ibrahim mewakili peniaga pertengahan tempatan yang terlalu susah untuk berkembang kerana payung cukung-cukung yang menjaga Mahathir cukup luas. Dalam pertembungan ini Anwar kalah.

Justeru, tidak mungkin Anwar akan diyakini oleh para cukung-cukung dan towkay-towkay besar yang sedang melanun negara ini untuk mewakili kepentingan mereka. Cukung-cukung dan towkay-towkay besar ini sedang menjalankan rompakan ke atas negara kita dengan bekerjasama dengan para pemimpin United Malay National Organisations yang mereka kenali tindak-tanduk dan perangai mereka. Laungan Reformasi dari mulut Anwar Ibrahim telah mengecutkan perut gendut perasuah, justeru Anwar tidak lagi akan diyakini untuk boleh menjaga kepentingan ekonomi hasil dari rompakan mereka.

Anwar pula sedang membawa Garis Ketiga yang pasti tidak akan melenakan tidur para perasuah, para lanun, para cukung dengan konsep keadilan sosial, agihan ekonomi yang saksama dalam sebuah negara yang pelbagai bangsa. Anwar Ibrahim pula pada ketika ini sedang menyusun Parti Keadilan Rakyat untuk menjana sebuah parti politik milik pelbagai bangsa. Politik baru ini pasti tidak disenangi oleh Tok-tok Perwai di atas.

Mungkin ada hujah yang mengatakan bahawa dalam politik tidak ada kepastian dan semuanya ada kemungkinan. Jika hujah dipanjangkan, ini bererti apakah ada kemungkinan Hadi Awang akan memasuki Parti Keadilan Rakyat atau Ibrahim Ali berpindah ke ‘level four’ untuk menjadi penasihat Khairy Jamaluddin. Justeru, kita wajib sedari bahawa dalam politik masih ada hukum, asas dan kepastian.

Jika masih ada di antara kita yang berdegil dan tidak dapat menerima hakikat politik. Atau masih juga ingin menganggap bahawa masih ada kemungkinan yang Anwar akan masuk ke dalam tong lamanya – United Malay National Organisations. Maka di sini saya ingin memberi satu kepastian politik – yang pasti ialah Anwar Ibrahim tidak akan menjadi ahli MIC – Malaysian Indian Congres – ini kerana beliau pasti tidak akan mendapat restu dari Wan Azizah Presiden PKR.

Comments»

1. Mick Gordon - September 7, 2006

Superb composition on your photos in Flickr. That one with the guy holding his hands in front of him is outstanding – to bad it is blurred.


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 42 other followers

%d bloggers like this: