jump to navigation

Al-Fatihah: Abdul Razak Ahmad August 12, 2007

Posted by elizabethwong in Democracy, History, Human Rights, Malaysia, Politics, Race Relations, RIP, Southeast Asia.
trackback

Abdul RazakMalaysia kehilangan seorang tokoh progresif, nasionalis dan anti-rasis.

Abdul Razak Ahmad yang lahir pada tahun 1939 telah meninggal dunia pada pukul 1.20 petang hari ini di Hospital Tun Aminah, Johor Baharu.

Beliau seorang peguam hak asasi membela nasib rakyat miskin, terutamanya masyarakat peneroka bandar. Razak menyandang jawatan Pengerusi Perhubungan KeADILan Johor dan sebelum itu, Timbalan Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM).

Kes yang paling baru, di mana Razak telah membantu Suaram ialah bila dua aktivis Suaram ditahan polis semasa demonstrasi di hadapan rumah Menteri Besar Johor mengenai masalah jenayah di Johor.

Razak ialah bekas Presiden Kelab Sosialis, Universiti Singapura yang pernah ditahan dan dibuang negara oleh Singapura, dan semenjak itu, tidak dibenarkan masuk kembali.

Dalam tahun 1975, beliau ditahan di bawah ISA kerana memperjuangkan hak peneroka bandar di Tasek Utara.

Apabila Presiden Israel melawat Singapura pada tahun 1986,  Razak telah membaring di atas landasan keretapi sebagai tanda bantahan beliau, dan beliau terpaksa diheret keluar oleh pihak polis.

Parti KeADILan telah hilang seorang pejuang yang telah berkorban seumur hidupnya demi menegakkan prinsip keadilan dan hak-hak asasi. Malangnya sejarah resmi negara kita akan mengabaikan pejuang tulen seperti Razak.

Corat-coret tentang Pengerusi Perhubungan Negeri Johor

oleh Syed Hamid Ali

(Artikel ini telah disiarkan dalam keluaran Suara Keadilan Isu  133)

MINGGU lepas, saya sempat berbual-bual mesra dengan Abdul Razak Ahmad, Pengerusi Perhubungan KeADILan Negeri Johor bagi penggal 2007-2010.

Beliau ialah seorang peguam di Johor Bahru.

Tetapi, dia lebih terkenal sebagai tokoh politik yang gigih memperjuangkan nasib rakyat kelas bawahan semenjak 40 tahun yang lalu.

Ketika menuntut di Universiti Singapura dalam lingkungan 1963-66, Razak pernah menjadi Presiden Kelab Sosialis Universiti (KSU) di pusat
pengajian tersebut.

Pertubuhan politik yang diasaskan oleh mahasiswa pada tahun 1953 itu telah mencatatkan peranan yang agak besar dalam peringkat awal perkembangan politik pulau tersebut.

Pada Mei 1954, lapan orang sidang pengarang Fajar iaitu penerbitan rasminya telah ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah.

Pihak penjajah Inggeris telah menuduh mereka menghasut.

‘Kes Fajar’ akhirnya membuktikan bahawa rencana pengarang yang bertajuk ‘Pencerobohan di Asia’ itu tidak lebih daripada satu bidasan keras sahaja terhadap gagasan Pertubuhan Perjanjian Asia Tenggara (Seato) yang sememangnya kontroversial pada masa itu.

Demikianlah sedikit latar belakang tentang sejarah penglibatan awal Abdul Razak Ahmad dalam politik progresif berhaluan kiri.

Tidak hairan juga mengapa pemuda yang sama, ketika dia berada dalam tahun akhir di universiti, telah ‘dihalau’ keluar oleh Lee Kuan Yew dan dilarang masuk semula hingga hari ini.

Saya mengenali Razak kurang sedikit daripada usia politiknya setelah dia pulang ke kampung halamannya.

Sebagai peguam muda, beliau pernah berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam Negeri Johor (JCS) selaku Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri dan kemudian Timbalan Pengarah Tanah dan Galian.

Sebenarnya, peluang bagi Razak untuk menikmati hidup lebih senang memang sudah terbentang luas. Tetapi, semua itu tidak menarik perhatiannya.

Dia masih tetap mirip kepada idealisme dan semangat untuk berkhidmat kepada rakyat.

Sesuai dengan cita-cita politiknya, dia menceburkan diri ke dalam perjuangan Parti Rakyat.

Hakikat inilah yang tidak dapat ditelan oleh Othman Saat, Menteri Besar Johor masa itu.

Othman Saat melihat pegawai muda tadi sebagai duri dalam daging.

Tambahan pula, pilihanraya umum 1969 pun sudah dekat.

Secara autoritarian, Razak diarahkan supaya berhenti daripada perkhidmatan dan meninggalkan negeri Johor dalam tempoh 24 jam!

Berasaskan kepada kebolehannya, Razak telah diterima menjadi Setiausaha Kerja FLDA (kemudian Felda) di Kuala Lumpur.

Dalam tempoh lima tahun itu, dia berhubung rapat dengan Pengerusinya iaitu Musa Hitam.

Musa adalah seorang menteri dan kedua-duanya anak Johor. Namun begitu, Razak tidak mudah hendak dipancing!

Melihat dari segi fizikal dan kesihatannya, Pengerusi Perhubungan Negeri yang baru itu sudah beransur-ansur dimamah usia.

Namun demikian, semangat dan tekad juangnya masih boleh dikatakan kental tidak banyak berubah.

Saya bertanya, apakah perkiraan beliau ketika menerima lantikan untuk
mengetuai KeADILan negeri yang dalam keadaan sekarang?

Dia menjawab ringkas dengan nada suaranya yang rendah: ‘Itulah kebijaksanaan parti.’

Apa yang tersirat di sebalik tiga patah perkataan tadi sudah memadai untuk meyakinkan saya bahawa Razak benar-benar adalah seorang pejuang yang tidak mengutamakan diri sendiri.

Bagaimana pula dengan banyak cabaran yang perlu dihadapinya?

Razak seorang ahli politik lama dan berpengalaman.

Dia tidak cepat menjawab pertanyaan itu secara langsung.

Sebaliknya, dia menggariskan rancangan kasarnya kepada saya.

Antara lain katanya, “Kita kena fokus kepada beberapa hal yang perlu diutamakan.

Pertama, tentang memperbaiki dan memperkukuh organisasi parti.

Kedua, bersiap sedia untuk menghadapi pilihanraya umum ke-12.

“Kalau organisasi tak kemas, tak tersusun, macam mana boleh tambah
ahli atau dapat sokongan luas dari semua peringkat.

“KeADILan ialah parti yang tidak perkauman Ia berjuang untuk golongan terbanyak.

Kalau kita kerja kuat, tebaran jala kita luas.

Kalau tidak, jala itu tidak akan mendatangkan hasil.”

Beliau tidak yakin dengan dakwaan kononnya Johor adalah ‘kubu’ Umno yang tidak boleh dipecahkan. Menurutnya, landscape politik tanahair sudah banyak berubah. Fikiran orang muda sekarang tidak seperti dulu, mereka berpelajaran dan berani memihak kepada yang benar.

Dalam masa yang sama, kerajaan negeri pula ada banyak masalah yang dibebankan ke atas rakyat.

Satu daripadanya ialah pengurusan kewangan yang buruk lagi tidak berhemat.

Hutang kerajaan sekeliling pinggang; hampir menjerumuskan negeri ke dalam keadaan muflis.

Laporan Ketua Audit Negara beberapa tahun yang lalu pun pernah menyentuh tentang
perkara ini.

Sebagai contoh, Razak menegaskan hutang Johor Corporation sahaja sudah berbilion ringgit.

Agensi ini semakin busuk namanya kerana telah mengakibatkan banyak kakitangan kerajaan dan orang-orang awam menanggung hutang bank atau kehilangan tanah milik mereka.

Beberapa tahun yang lalu, Johor Corporation telah ‘meyakinkan’ orang ramai supaya membeli saham syarikatnya yang dijanjikan akan mencecah lima ringgit seunit. Apabila harganya merudum sampai ke paras kurang daripada tiga puluh sen, Abdul Ghani Othman mendiamkan diri, dan Ali Hashim CEOnya pula meminta maaf.

Pada masa itu, barulah mereka yang menjadi mangsa sedar bahawa mereka teraniaya.

Tetapi, nasi sudah menjadi bubur!

Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) pun begitu juga.

Melalui badan ini, banyak tanah kerajaan diswastakan.

Hari ini, ‘KePaRat Johor’ itu sudah tidak kedengaran lagi.

Perhatian orang ramai dipesongkan pula kepada Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI).

Apakah sebenarnya WPI?

Mengikut Razak, WPI lebih menguntungkan pihak luar khasnya dari Singapura.

Atas nama untuk membangunkan wilayah tersebut, penanam modal asing bebas membeli tanah di situ.

Dulu, tanah dalam kawasan Gelang Patah kebanyakannya milik orang Melayu.

Kemudian, dijual sebagai tanah pertanian kepada kerajaan mengikut syarat-syarat Akta Pengambilan Tanah yang dipinda.

Sekarang, tanah-tanah tersebut dijual semula kepada orang-orang kaya asing dengan harga berlipat kali ganda mengikut ukuran kaki persegi.

Beberapa orang kroni berjaya menjadi jutawan dalam sekelip mata!

Tanyakanlah kepada orang-orang Melayu di Kampung Duku, Tanjung Adang, Tanjung Pelepas, Kampung Pendas; mereka akan menceritakannya.

Betapa sedihnya nasib mereka kerana telah disunglap oleh pemimpin-pemimpin
besar mereka sendiri.

Namun begitu, tidak dinafikan bahawa ada juga golongan bawahan dalam Umno yang senyap-senyap menentang amalan terkutuk ini.

Razak mempunyai banyak maklumat yang diperolehi daripada mereka.

‘Pekung’ ini tidak akan dapat ditutup-tutup lagi apabila ia mulai berbau dalam masa pilihanraya yang akan datang?

“Tunggulah, saya akan dedahkan satu persatu,” katanya.

Comments»

1. Chee Yong - August 12, 2007

Masih segar dlm ingatan saya, nama Abdul Razak Ahmad yg pada ketika it merupakan bekas Timbalan Presiden PRM. Inilah pejuang pejuang tulen yg tidak mengenal erti lelah. Yg terus memperjuangkan hak rakyat. Sedih mendengar pemergian seorang pejuang.

2. monsterball - August 12, 2007

God bless this kind soul and may the family be well and good.

3. bobjots : redux - August 12, 2007

Al Fatihah – Sdr Abdul Razak Ahmad

I was on my way back from church today when I got a call from Elizabeth Wong informing me that a long-time comrade, Sdr Abdul Razak Ahmad, just passed away within the hour. Once again, Malaysia has lost a principled…

4. Bob K - August 13, 2007

Rest in Peace. You have fought a good fight.

5. rockybru - August 13, 2007

alfatihah.
i covered the arwah during my younger days as a journalist. in the by-election of jb (or was it tanjung putri?) in 1987, when he was heading the prm if i’m not mistaken, we got to meet each other on a daily basis. he was easy-going. and very committed to the cause he had chosen.

6. M.Manogar - December 27, 2007

im still longing for the lonerangger who had struggle for the wrights of the poors hes deppature grate lost for the poor people May God bless you.

7. amir - January 2, 2008

he is a nice and strong person…Strong fighter..


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 42 other followers

%d bloggers like this: