jump to navigation

Readings: ‘Kajian Asli: Wacana politik yang pincang dan wacana intelektual yang mengekorinya’ October 15, 2006

Posted by elizabethwong in Current Affairs, Economy, Malaysia, Politics, Race Relations, Readings.
trackback

Sunday Readings 2: Have huge house to pack!

Kajian Asli: Wacana politik yang pincang dan wacana intelektual yang mengekorinya
Rustam Sani, 13 October 2006

Oleh kerana hiruk pikuk yang ditimbulkan oleh kontroversi kajian tajaan Asli tentang “pemilikan ekuiti Melayu” kini sudah agak reda sedikit, rasanya sudah tibalah masanya yang agak sesuai untuk saya mengemukakan sedikit pandangan tanpa turut terlibat dalam perangkap perdebatan politik yang bersifat perkauman itu.
Bagi saya, wacana yang tercetus akibat terbitnya kajian Asli itu menunjukkan segala yang pincang tentang pemikiran politik di negara ini. Dan, yang lebih merunsingkan ialah hakikat bahawa kepincangan pemikiran politik itu telah memaksakan sifat-sifatnya yang pincang lagi tidak toleran terhadap pemikiran orang lain itu terhadap bidang-bidang lain juga – termasuklah bidang kesarjanaan yang sepatutnya menjadi tunggak dan kayu ukur bagi kajian seperti yang telah dilakukan oleh Asli itu.

Satu aspek yang begitu banyak diperkatakan dalam kerangka kontroversi kajian Asli ini adalah isu kaedah kajian – atau metodologi. Ada pihak yang menyatakan bahawa metodologi yang diterapkan kajian Asli itu tidak tepat – sesetengah ahli politik dalam kemarahannya malah menganggapnya sebagai “sampah” – tetapi ada pula pihak yang mempertahankan kajian itu dengan menuduh bahawa metodologi yang diterapkan oleh kajian rasmi kerajaan (yang memperoleh angka 18 peratus bagi pemilikan ekuiti Melayu) yang sebenarnya tidak betul.

Namun, jika perdebatan itu diikuti dengan teliti, ternyatalah bahawa sebenarnya tidak terdapat sebarang perbincangan tentang metodologi – yakni tentang tatacara bagaimana maklumat diperolehi dan, berdasarkan tatacara itu, bagaimana suatu konsep itu (yakni “ekuiti Melayu”) diukur atau, dalam istilah metodologi kajian, dioperasionalisasi.

Bagi saya, perbahasan di sini bukanlah dalam bidang metodologi, tetapi dalam bidang pengoperasian konsep. Yang dipersoalkan ialah langkah para pengkaji Asli yang telah memasukkan ekuiti milik syarikat-syarikat terpaut pada kerajaan (GLC) dalam penghitungan ekuiti Melayu – dengan itu melonjakkan angka itu menjadi 45 peratus, bukannya 18 peratus seperti yang didakwa oleh kerajaan sejak akhir-akhir ini.

Bagi saya yang amat menjolok di sini adalah kepincangan di sebalik pemikiran DEB itu sendiri. Begitu kuatnya perspektif dan mentaliti pekauman dalam pemikiran politik negara ini, sehingga DEB sejak mulai dilancarkan pada tahun 1970an lagi telah dicirikan semata-mata oleh perkiraan peratusan pengagihan di kalangan kaum-kaum, tanpa sedikitpun disentuh oleh pertimbangan konsep-konsep lain yang lebih relevan, seperti “keadilan sosial” umpamanya.

Usaha pihak kerajaan untuk secara aktif melaksanakan dasar dan natijah yang semata-mata bersifat perkauman itu, telah menimbulkan di kalangan tertentu golongan bukan Melayu di negara ini (yang juga bersikap perkauman) suatu persepsi dan andaian tentang berlakunya suatu dasar yang secara sistematis meminggirkan golongan bukan Melayu itu.

Begitu mendalamnya persepsi tersebut, sehingga apabila Lee Kuan Yew dengan bijaksana sekali memanfaatkan gagasan tersebut (“systematically marginalisisng the Chinese”) maka tidak sedikit orang yang – secara terbuka maupun secara diam-diam – menelan seluruh pandangannya itu dan menyokongnya.

Oleh yang demikian, di kalangan golongan-golongan yang menganggap dirinya dipinggirkan (marginalised), kerajaan yang sedang berlangsung itu tidak dianggap kerajaannya, tetapi kerajaan orang lain (yakni Melayu) yang menyebabkan mereka terpinggir. Oleh yang demikian, terdapatlah pandangan yang agak meluas bahawa kerajaan tersebut adalah kerajaan Melayu, dan dengan itu ekuiti yang dikuasai oleh syarikat-syarikat yang terpaut pada kerajaan (GLC) itu wajarlah dianggap sebagai sebahagian daripada ekuiti Melayu.

Saya tidak menuduh bahawa aliran pemikiran yang demikian itu telah mempengaruhi pengoperasian konsep “ekuiti Melayu” di kalangan para pengkaji Asli tersebut. Namun demikian, prasangka tentang itu tentulah wujud dalam masyarakat politik (dan masyarakat akademik juga) yang begitu kuat dicengkam oleh perspektif perkauman itu. Oleh kerana itulah, reaksi paling awal oleh seorang ahli akademik yang begitu memihak kepada kerajaan terhadap kajian Asli itu ialah menganggapnya sebagai kajian yang diperalatkan oleh “kelompok Cina” untuk menafikan pandangan kerajaan tentang DEB.

Tidak terdapat sebarang percubaan untuk mengupas penemuan para pengkaji Asli itu dalam suatu perdebatan yang bersifat akademik atau dalam sebuah wacana yang bersifat cendekia, untuk menghuraikan pelbagai gagasan dan konsep, maupun metodologi. Jika sekalipun orang-orang politik tidak masuk campur, maka perdebatan di kalangan orang-orang akademik itu sendiri mempunyai potensi untuk menjadi perdebatan politik yang bersifat perkauman – serta mudah difahami dan disertai oleh masyarakat umum negara ini yang juga amat tebal sifat perkaumannya.

Mujurlah bagi wacana akademik negara ini, perdebatan itu segera disertai, malah diambil alih, oleh orang-orang politik. Mereka lalu segera menerapkan pendekatan mereka yang biasa – yakni mengkritik kajian Asli itu tanpa hujah yang meyakinkan, menuduhnya sebagai sampah dan berniat jahat, lalu men“dikri”kan bahawa perdebatan dan perbincangan yang ditimbulkannya harus segera diberhentikan – jika tidak masyarakat akan kucar kacir.

Oleh kerana Asli, sebagai badan kajian dan perundingan, juga dikuasai oleh orang-orang politik yang tidak berkelayakan untuk mempertahankan sebuah hasil kajian seperti itu berasaskan ciri-ciri akademiknya, maka mereka telah melakukan apa yang biasanya dilakukan oleh para ahli politik yang mendapati dirinya tidak mampu melawan arus kuasa yang melanggar mereka bagaikan arus tsunami itu. Mereka meminta maaf tanpa memperdebatkan merit kajian tersebut dari segi teori, metodologi maupun pendekatannya – sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam bidang akademik yang tulen.

Namun ada suatu perkara lagi yang begitu membingungkan saya sehubungan dengan kontroversi kajian Asli ini. Jika kewujudan DEB itu diasaskan kepada mencapai peratusan ekuiti Melayu yang berjumlah 30 peratus – malah kewujudan Umno sendiri diasaskan sepenuhnya pada gagasan memantapkan kedudukan ekonomi Melayu dalam bandingan dengan kaum-kaum lain – maka mengapakah pula sebuah kajian yang menunjukkan bahawa tahap ekuiti itu sebenarnya sudah melebihi natijah tersebut menimbulkan kemarahan yang begitu hebat di kalangan para pemimpn Umno?

Sebenarnya, angka pemilikan ekuiti yang belum mencapai 30 peratus itu amat besar faedahnya bagi Umno. Dengan angka itu, Umno senantiasa boleh membuat dakwaan bahawa kedudukan orang Melayu masih rapuh dan masih terancam oleh “kejayaan ekonomi” golongan bukan Melayu. Dan fakta ini diikuti pula dengan dakwaan seterusnya: bahawa hanya Umno sahaja yang akan membawa orang Melayu keluar daripada lubuk kehinaan ekonomi negara.

Hujah tersebut telah dimanfaatkan oleh Perdana Menteri yang lalu – dan masih terus diperalatkan oleh PM yang ada sekarang. Jika ada kajian yang menunjukkan bahawa pemilikan ekuiti orang Melayu sebenarya sudah melewati matalamt 30 peratus itu, seperti yang diperlihatkan oleh kajian Asli tersebut, maka apakah yang masih tinggal lagi untuk menakut-nakutkan orang Melayu dan menggertak mereka supaya senantiasa bergantung kepada Umno yang akan terus berjuang untuk pemantapan ekonomi mereka.

Oleh kerana itulah pihak kerajaan sebenarnya tidak berminat untuk mengetahui sebenarnya dan setepatnya apakah kadar peratusan ekuiti itu sebenarnya 18 peratus atau 45 peratus. Jika jumlahnya 18 peratus, maka kita dikatakan masih jauh daripada matalamat, dan masih harus terus berjuang di bawah payung Umno demi mencapai matalamat tersebut. Tetapi jika jumlah itu dikatakan sudah mencapai 45 peratus, maka bagaimanakah akan dijelaskan kepada golongan Melayu yang masih mundur mengapa mereka masih belum merasa nikmat sebahagian daripada habuan yang begitu besar itu.

Dengan kekacauan pemikiran tentang dasar yang begitu parah melanda kerajaan, maka tidaklah menghairankan jika kontroversi seperti yang dicetuskan oleh kajian Asli itu tidak akan ke mana-mana. Orang politik akan sekadar memperalatkan kuasanya, pihak akademik sekadar menyuarakan sikap para ahli politik yang dikhidmatinya, dan orang ramai akan terus dibuai oleh suasana pemikiran perkauman yang amat mengasyikkan – tetapi sekali gus juga amat membahayakan itu.

Comments»

No comments yet — be the first.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: